Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO AMRAN HAMID
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO AMRAN HAMID
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Syarikat Air Darul Aman (SADA) menafikan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, terbabit dalam keputusan syarikat itu membeli kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Velfire seperti yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Pegawai Perhubungan Awam SADA, Anas Aidi Md Rozai, berkata, pembelian MPV bernombor pendaftaran KEP 5000 itu diputuskan pihak pengurusan syarikat itu untuk kegunaan rasmi pengurusan syarikat.

"Kami ingin menjelaskan pembelian kenderaan itu diuruskan mengikut prosedur perolehan SADA dan diputuskan pengurusan syarikat.

"Menteri Besar juga tiada kaitan dengan keputusan syarikat untuk membeli kenderaan berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan Menteri Besar yang juga Pengerusi SADA menerima kereta baharu Toyota Vellfire berwarna hitam bernombor pendaftaran KEP 5000.

Kenderaan terbabit dikatakan berharga RM345,000 dan memiliki spesifikasi tertinggi model berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 8:41 PM