Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Usaha kerajaan memutuskan rantaian serta menyekat penularan Covid-19 tidak akan berjaya dengan hanya tindakan penguatkuasaan semata-mata.

Sebaliknya, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap individu di negara ini perlu menjadi barisan hadapan dalam pengawalan kendiri.

"Kehadiran pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pelbagai agensi penguatkuasa lain tidak mampu menyekat penularan Covid-19 semata-mata dengan tindakan penguatkuasaan.

"Apa yang lebih penting adalah sokongan daripada setiap individu di negara ini yang mengamalkan kawalan kendiri.

"Selain itu setiap daripada kita perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenalkan kerajaan. Kita sepatutnya menjadi frontliners," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media maya hari ini mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-213 dan hari ke-129 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.

Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk memutuskan rantaian serta menyekat penularan Covid-19.

"Beberapa strategi dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak keselamatan, antara strategi dilakukan dari segi keselamatan adalah apabila diumumkan PKP yang begitu ketat sekali pelaksanaannya untuk seluruh negara.

"Kemudian dilonggarkan sedikit demi sedikit dalam tempoh beberapa bulan kepada PKP Bersyarat (PKBB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

"Begitu juga PKP Diperketatkan (PKPD) Bersasar atau TEMCO di lokasi tertentu. Kerajaan turut menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) melalui lorong tikus menerusi Operasi Benteng," katanya.

Katanya, selain itu kerajaan mengawal kemasukan warga asing di pintu masuk antarabangsa bagi mengekang kes import.

Bagaimanapun sekali lagi ditegaskan, katanya, strategi itu hanya boleh berjaya jika mendapat sokongan seluruh rakyat dengan mematuhi setiap SOP diperkenalkan kerajaan.

 DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama.
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 5:09 PM