Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Kompleks beli-belah One Utama Mall yang sebelum ini diarahkan tutup pada 11 Oktober lalu bagi proses saringan Covid-19 dan aktiviti pembasmian kuman, boleh beroperasi semula mulai esok.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga semalam, seramai 6,000 individu termasuk pekerja, penyewa dan petugas serta 110 pengunjung di kompleks beli-belah itu sudah disaring oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, pengunjung yang disaring itu dipercayai mereka yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif di kompleks beli-belah berkenaan.

"Mereka yang didapati positif dihantar ke hospital untuk rawatan, kontak tidak bergejala pula dikuarantin selama 14 hari manakala yang bergejala diarahkan untuk pemeriksaan lanjut di klinik kesihatan berhampiran.

"Langkah kawalan dan pencegahan yang diambil oleh pihak pengurusan kompleks serta atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju membenarkan kompleks One Utama Mall kembali beroperasi semula bermula 17 Oktober (esok)," katanya pada sidang media, hari ini.

ONE Utama Mall. FOTO Fathil Asri
ONE Utama Mall. FOTO Fathil Asri

Ismail Sabri berkata, pemilik premis perniagaan dalam kompleks itu sudah boleh mulakan persiapan untuk membuka semula perniagaan masing-masing, esok.

Media pada 10 Oktober lalu melaporkan Kompleks One Utama Mall, Bandar Utama, diarahkan tutup pada 11 Oktober bagi tujuan saringan Covid-19 kepada semua pekerja dan melakukan aktiviti pembasmian kuman.

Ia susulan empat individu iaitu tiga pekerja dan seorang pengunjung disahkan positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 6:24 PM