RIZALMAN dilantik Ahli Lembaga Pengarah UiTM. FOTO ihsan Facebook UiTM
RIZALMAN dilantik Ahli Lembaga Pengarah UiTM. FOTO ihsan Facebook UiTM
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Pereka fesyen dan usahawan terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim dilantik sebagai Ahli Lembaga Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkuatkuasa, 9 Oktober lalu.

Pelantikan Rizalman, 49, dikongsikan UiTM menerusi laman Facebook rasmi universiti itu.

Malah, Rizalman dilihat turut berkongsi berita berkenaan di laman Instagram miliknya.

Menerusi perkongsian sebuah video dan kenyataan ringkas, beliau berjanji akan berkhidmat selagi diperlukan.

"Saya berjanji selagi hayat terkandung (badan) sebagai seorang rakyat Malaysia, sebagai bangsa Melayu, sebagai umat Nabi Muhammad SAW dan sebagai makhluk ciptaan Allah SWT...saya pasti berkhidmat selagi diperlukan bakat dan kederat (kudrat)," tulisnya.

Rizalman yang juga anak jati Pulau Pinang adalah alumni universiti itu dalam bidang seni lukis dan seni reka (fesyen).

Sementara itu, pelantikan pereka fesyen itu mendapat maklum balas dan komen positif daripada netizen yang mana ruangan komen di Instagram beliau dipenuhi ucapan tahniah.

Malah, beberapa individu yang terdiri daripada alumni serta kakitangan universiti itu memberitahu berbangga dengan pelantikannya.

Rata-rata beranggapan Rizalman layak dilantik sebagai ahli lembaga pengarah ekoran beliau sendiri adalah alumni UiTM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 8:07 PM