GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Rosman Shamsudin


Slim River: Polis menahan empat lelaki selepas dipercayai menghalang penjawat awam menjalankan tugas termasuk melakukan provokasi berdekatan Plaza Tol Slim River, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kejadian berlaku kira-kira 3.30 pagi apabila polis menerima maklumat terdapat sekumpulan lelaki mabuk dan membuat bising sambil memasang muzik dengan kuat.

Katanya, sebaik anggota Unit Kereta Peronda (MPV) tiba didapati empat lelaki berada di luar kereta yang diletakkan di tepi jalan.

"Anggota polis memberi nasihat supaya tidak membuat bising dan meminta mereka beredar, tetapi dua daripada mereka bertindak menyerang anggota polis.

"Malah, lelaki terbabit juga menolak badan anggota polis sambil mengeluarkan kata-kata kesat, manakala seorang rakan mereka merakam video dan membuat provokasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, keempat-empat lelaki berusia 25 hingga 41 tahun berjaya ditahan dan direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 18 Oktober ini untuk siasatan.

Katanya, semakan mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah, dan saringan ujian air kencing ke atas empat suspek didapati negatif dadah.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 8:55 PM