KENDERAAN mangsa terbabas sebelum merempuh papan tanda dalam kemalangan di Ayer Hitam. FOTO Ihsan bomba
KENDERAAN mangsa terbabas sebelum merempuh papan tanda dalam kemalangan di Ayer Hitam. FOTO Ihsan bomba
Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Dua sekeluarga maut, manakala tiga lagi mangsa cedera parah dalam kemalangan di Kilometer (KM) 78 Lebuhraya PLUS arah Utara berhampiran susur masuk tol Ayer Hitam, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 12.08 tengah hari itu membabitkan sebuah kereta jenis Honda Civic yang terbabas sebelum merempuh papan tanda arah di tepi bahagian kiri lebuh raya.

"Mangsa, Abd Razak Mohd Mahudin, 50, di tempat duduk bahagian penumpang hadapan dan anaknya Mohd Amirudin Abd Razak, 19, berada di tempat duduk bahagian kanan penumpang belakang maut di tempat kejadian.

"Pemandu kenderaan yang juga anak kepada mangsa yang maut, Mohd Hamizan Abd Razak, 27, Nurul Nahirah Abd Razak, 21, dan seorang wanita dipercayai isteri mangsa, Rahimah Yaman, 49, berada di tempat duduk bahagian penumpang kiri mengalami cedera parah.

FOTO Ihsan bomba
FOTO Ihsan bomba

"Pihak bomba terpaksa menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan dua mangsa wanita yang cedera manakala pemandu kenderaan berkenaan dapat menyelamatkan diri keluar daripada kenderaan berkenaan.

"Dua mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat bagi mendapatkan rawatan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

FOTO Ihsan bomba
FOTO Ihsan bomba

Menurut beliau, seramai tujuh anggota dan satu jentera FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam dihantar ke tempat kejadian.

"Operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 1.23 petang, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 4:32 PM