Mohd Rashidi Yusuf

Gerik: Gajah jantan bernama Yeop Jong yang ditangkap di kawasan ladang getah di Rancangan Plang, Kampung Plang, dekat sini, Isnin lalu dipindahkan ke Taman Negara Terengganu hari ini.

Gajah berusia sekitar 14 tahun dengan anggaran berat antara 1,800 dan 2,000 kilogram itu ditangkap tujuh anggota Unit Tangkapan Gajah Perak (UTGP) dalam operasi yang dilancarkan sejak 5 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, gajah yang berkeliaran bersendirian itu berjaya ditangkap hasil maklumat penduduk yang memaklumkan kehadirannya di kawasan ladang getah mereka di Rancangan Plang.

Katanya, berdasarkan siasatan gajah terbabit didapati terpisah daripada kumpulannya di Hutan Simpan Gerik dan berkeliaran dalam mencari kumpulannya semula.

Berikutan itu, katanya penduduk berada dalam keadaan ketakutan dan bimbang untuk ke ladang getah, selain turut merosakkan tanaman seperti getah, kelapa, tebu dan durian.

YEOP Jong selamat dinaikkan atas trailer untuk dipindahkan ke Taman Negara Terengganu. FOTO Mohd Rashidi
YEOP Jong selamat dinaikkan atas trailer untuk dipindahkan ke Taman Negara Terengganu. FOTO Mohd Rashidi

"Binatang ini adalah gajah liar daripada Kumpulan Belum yang dianggarkan antara 40 ke 50 ekor yang disebut gajah konflik yang sering mengganggu kawasan Felda Bersia, Kampung Pecah Batu, Bongor dan Jalan Raya Timur Barat.

"Ia adalah gajah kedua ditangkap UTGP di kawasan ini yang mana tangkapan pertama pada 2019 dan dipindahkan ke Santuari Gajah, di Terengganu," katanya kepada media selepas proses pemindahan Yeop Jong ke Taman Negara di sini, hari ini.

Kerja-kerja pemindahan dilakukan 20 kakitangan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Lanchang, Pahang dan Perhilitan Perak dengan khidmat dua denak bernama Rambai dan Alam.

Proses pemindahan yang bermula jam 10 pagi selesai pada 2 petang turut disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Temenggor, Salbiah Mohamed serta penduduk.

Yusoff berkata, proses pemindahan berjalan lancar namun berlaku sedikit kelewatan kerana kerja-kerja menggali tanah untuk meletakkan treler bagi membawa gajah jantan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 7:24 PM