Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lima lagi kluster baharu penularan Covid-19 dalam negara, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu itu dilaporkan di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Terengganu, selain turut menular ke Perak dan Putrajaya.

Beliau berkata, kluster baharu pertama yang dikenal pasti iaitu Kluster Teduh dilaporkan di Lahad Datu, Sabah.

"Kes indeks kluster ini adalah hasil saringan individu yang mempunyai sejarah perjalanan dari daerah berisiko tinggi iaitu Semporna pada 6 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Lahad Datu.

"Saringan kontak rapat dilakukan mengenal pasti 10 lagi kes positif. Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 535 individu disaring dengan 11 kes positif dan 524 individu masih menunggu keputusan," katanya pada sidang media harian, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kluster kedua dikenal pasti adalah Kluster Menara yang dilaporkan di Gombak, Petaling, Klang, Sepang dan Hulu Langat Selangor.

"Kluster ini juga dilaporkan di Lembah Pantai, Titiwangsa dan Cheras, Kuala Lumpur, selain di Larut, Matang dan Selama, Perak serta Putrajaya.

"Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-16,041 didapati positif hasil saringan individu bergejala pada 9 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Saringan kontak rapat dilakukan mendapati 32 lagi kes positif. Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 180 individu disaring dengan 33 kes dikesan positif, 33 individu negatif dan 114 individu masih menunggu keputusan," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Beliau berkata, kluster ketiga dikenal pasti adalah Kluster Keladi yang dilaporkan di Klang, Selangor dengan kes indeks dikenal pasti positif hasil saringan kontak rapat pada 13 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Saringan kontak rapat dilakukan mengenal pasti 25 lagi kes positif. Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 107 individu disaring dengan 26 kes dikesan positif, 74 individu negatif dan tujuh individu masih menunggu keputusan.

"Kluster keempat iaitu Kluster Sentral pula dilaporkan di Kepong, Cheras dan Titiwangsa, Kuala Lumpur dengan kes indeks bagi kluster ini adalah kes kematian ke-176 yang dikenal pasti positif hasil saringan kematian di sebuah pusat perubatan pada 16 Oktober lalu.

"Saringan kontak rapat dilakukan mendapati empat lagi kes positif bagi kluster ini. Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 135 individu disaring dengan lima kes dikesan positif, 122 individu negatif dan lapan individu masih menunggu keputusan," katanya.

Bagi kluster kelima, beliau berkata, ia dikenali sebagai Kluster Bah Bemban yang dilaporkan di Dungun, Terengganu dan Kota Kinabalu, Sabah.

"Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-12,082 dikenal pasti positif hasil saringan pulang dari Sabah pada 3 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang.

"Saringan kontak rapat dilakukan mengenal pasti 11 lagi kes positif bagi kluster ini. Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 222 individu disaring dengan 12 kes dikesan positif dan 210 individu negatif," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 7:25 PM