Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: "Insiden ini kecil jika dibandingkan dengan pengalaman rakan (setugas) lain menangkap penjenayah, ia sudah menjadi kebiasaan anggota polis," kata Koperal Syamsul Ikhwani, 35.

Semalam, Syamsul diserang lelaki berusia 61 tahun yang bersenjatakan sabit di kawasan letak kereta di pasar raya TF berhampiran PD Waterfront, di sini, sehingga cedera di kepala.

Dalam kejadian itu, Syamsul terpaksa melepaskan tembakan terhadap lelaki itu di bahagian perut sebelum rakan setugasnya memberkas lelaki terbabit.

Menceritakan semula kejadian, Syamsul berkata, dia bertugas meronda bersama Asisten Superintendan Mohd Rizal Mat Noh, 40, sebelum diminta mengawasi suspek di kawasan itu selepas menerima laporan orang awam.

Katanya, dia keluar dari kenderaan peronda polis untuk melihat keadaan dan ketika itu suspek lari ke kawasan semak-samun yang gelap.

"Dalam keadaan samar, saya nampak suspek berlari ke arah saya dan mengarahkannya untuk berhenti, namun tidak diendahkan menyebabkan saya terus menembak suspek.

"Ketika itu suspek terus berlari dan dalam jarak hampir lima meter dengan saya, sekali lagi saya melepaskan tembakan, namun suspek sempat melibas sabitnya dan terkena kepala sebelah kiri.

"Saya menolaknya sehingga jatuh sebelum ditangkap rakan setugas lain," katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusof di rumahnya di Taman Selasih di sini, malam ini.

MOHAMAD (kiri) ketika melawat Syamsul yang cedera ketika diserang lelaki bersenjatakan sabit ketika ditemui di rumahnya di Taman Selasih, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
MOHAMAD (kiri) ketika melawat Syamsul yang cedera ketika diserang lelaki bersenjatakan sabit ketika ditemui di rumahnya di Taman Selasih, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman dan Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed.

Sementara itu, Mohamad berkata, kejadian seperti itu sudah menjadi lumrah kepada anggota polis dalam membanteras jenayah.

"Bagi saya ia satu pengalaman dan juga sebagai pengajaran agar setiap anggota polis lebih berhati-hati ketika bertugas kerana suspek boleh bertindak di luar jangka.

"Alhamdulillah, anggota saya tidak mudah panik dan sempat bertindak bagi menghalang kejadian yang lebih buruk lagi walaupun Syamsul cedera sikit di kepala," katanya.

Katanya, suspek yang mengalami kecederaan di perut akibat terkena tembakan itu kini dirawat di Jabatan Kecemasan Hospital Port Dickson dalam keadaan stabil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.

Suspek mempunyai rekod lampau satu kes Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan senjata Berbahaya 1958.

Berita berkaitan

Anggota polis cedera diserang dengan sabit

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 9:39 PM