Nurul Hidayah Bahaudin

Gombak: Pemilik restoran memberi alasan pelanggannya enggan beredar menyebabkan premisnya di Sri Gombak, di sini, terpaksa tutup lambat.

Lelaki itu dikesan melakukan kesalahan itu dalam Operasi Khas Pematuhan PKPB di sini, malam tadi.

Dalam operasi kira-kira 10 malam itu, lelaki berusia 40-an berkenaan memberitahu ada beberapa pelanggan enggan beredar walaupun dia sudah mengarahkan mereka berbuat demikian.

Menurutnya, dia tahu tanggungjawabnya yang sepatutnya menutup operasi restorannya sebelum 10 malam susulan arahan waktu operasi premis ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Saya tahu (restoran) kena tutup awal tapi ada beberapa pelanggan lagi yang enggan beredar kerana mendakwa mereka sedang makan.

"Keadaan itu menyebabkan saya terpaksa menutup restoran sedikit lambat hari ini," katanya ketika ditemui di lokasi terbabit, semalam.

Pemilik restoran terbabit antara tujuh individu yang dikompaun dalam operasi yang dijalankan di beberapa premis di Sri Gombak serta Pasar Borong Selayang di sini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, seramai 16 pegawai dan 40 anggota terbabit dalam operasi yang bermula pada 9 malam.

Arifai Tarawe melakukan pemeriksaan terhadap pengunjung restoran dalam Operasi Khas Pematuhan PKPB di Gombak, malam tadi. Foto Nurul Hidayah Bahaudin
Arifai Tarawe melakukan pemeriksaan terhadap pengunjung restoran dalam Operasi Khas Pematuhan PKPB di Gombak, malam tadi. Foto Nurul Hidayah Bahaudin

"Tujuh kompaun dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tidak membuat pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera atau menulis maklumat pada buku disediakan oleh premis berkenaan.

"Selain itu, ada juga pemilik premis yang dikompaun selepas didapati beroperasi melebihi daripada tempoh dibenarkan serta gagal menyelenggara buku pendaftaran pelanggan.

"Kami turut menahan dua lelaki warga asing yang didapati berniaga di tepi jalan di kawasan Pasar Borong Selayang," katanya ketika sidang media selepas mengetuai operasi berkenaan.

Arifai berkata, pihaknya sudah mengeluarkan kira-kira 70 kompaun termasuk malam tadi bagi tempoh empat hari pelaksanaan PKPB di daerah itu.

"Kami akan sentiasa melaksanakan seperti operasi ini sepanjang tempoh PKPB bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan pihak berkuasa.

"Tindakan penguatkuasaan adalah penting bagi memastikan orang ramai tidak leka daripada terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19 khususnya di daerah ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 8:33 AM