Persiapan untuk membuka MTC oleh ATM di Penjara Pokok Sena bagi membendung penularan Covid-19. Foto Ihsan FB Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Persiapan untuk membuka MTC oleh ATM di Penjara Pokok Sena bagi membendung penularan Covid-19. Foto Ihsan FB Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
BERNAMA

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menubuhkan pusat rawatan sementara MTC dalam Penjara Pokok Sena, Kedah bagi membendung penularan Covid-19.

Markas Kedua Divisyen Infantri dalam kenyataan malam tadi memaklumkan Pasukan B Kompeni 2 Batalion Ubat diatur gerak bagi membantu Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan akan beroperasi pada 20 Oktober ini.

"Pusat ini didirikan bagi memberi rawatan kepada tahanan yang mempunyai jangkitan Covid-19," menurut kenyataan itu.

Pasukan perubatan itu diketuai Pakar Perubatan Kesihatan Awam Jabatan Perubatan Tentera Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kolonel (Dr) Mohd Arshil Moideen, Penolong Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan 2 Divisyen Leftenan Kolonel (Dr) Faira Rosmarina Mohd Rustam dan Pegawai Pemerintah B Kompeni 2 Batalion Ubat Kapten (Dr) Muhammad Asyraf Khairul Hasni.

Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia dari Putrajaya turut ditugaskan memberi nasihat teknikal untuk mendirikan pusat rawatan tersebut.

Menurut kenyataan itu, dua pegawai perubatan, lima paramedik dan dua anggota semboyan pasukan akan diatur gerak sepanjang pengoperasian pusat rawatan tersebut.

"Aset logistik iaitu khemah yang akan digunakan sebagai wad ICU, pusat nyah kuman, 'donning and doffing station', khemah pengurusan sisa klinikal, makmal, bilik gerakan dan sistem pancuran untuk petugas serta set generator turut diatur gerak ke lokasi," menurut kenyataan itu.

Atur gerak aset dan pegawai serta anggota tentera bagi misi itu akan diletak di bawah pemantauan Panglima 2 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 9:31 AM