ANGGOTA polis dan Rela bertugas di SJR di sempadan Kampung Dalam Wang menuju Padang Che Mas tengah malam tadi. FOTO SAFURI KAMARUDIN.
ANGGOTA polis dan Rela bertugas di SJR di sempadan Kampung Dalam Wang menuju Padang Che Mas tengah malam tadi. FOTO SAFURI KAMARUDIN.
Safuri Kamarudin

Baling: Polis Daerah Baling melaksanakan satu sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Padang Che Mas, Pulai susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula tengah malam tadi sehingga 31 Oktober ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, polis turut menutup dua jalan tikus yang sering dilalui penduduk setempat.

Beliau berkata, lokasi SJR itu adalah di laluan jalan masuk di sempadan Kampung Dalam Wang menuju Padang Che Mas.

"Polis membuat sekatan bagi memastikan penduduk tidak sewenang-wenangnya keluar masuk seperti arahan dikeluarkan.

"Kami hanya membenarkan dua individu daripada setiap keluarga di kawasan berkenaan untuk keluar mendapatkan barangan keperluan harian manakala individu sedang menjalani kuarantin dan bergelang merah jambu tidak dibenarkan keluar dari kawasan rumah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pusat kawalan dan SJR di sempadan Kampung Padang Che Mas, petang semalam.

Beliau berkata, pihaknya mengarahkan jawatankuasa persatuan penduduk yang menguruskan sektor pelancongan di Gua Sireh supaya menutup kawasan berkenaan sehingga tamat tempoh PKPB.

Katanya, penduduk diingatkan supaya tidak menggunakan jalan bukit dan jalan hutan untuk keluar dari kampung berkenaan bagi menuju ke pekan terdekat.

PKPB dilaksanakan di kampung berkenaan selepas 25 individu daripada lima keluarga dijangkiti Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 10:54 AM