Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: "Ribut kuat serta hujan lebat dalam tempoh setengah jam menyebabkan sebahagian bumbung dapur dan bilik tercabut diterbangkan angin," katanya Mohamad Che Bakar, hari ini.

Mohamad, 55, berkata dalam kejadian 3.30 petang semalam, dia bersama isteri, Roslija Wan Mahmud, 49, dan dua anak berusia 20 dan 30 tahun berada di dalam rumah sebelum mereka dikejutkan dengan dentuman kuat.

Katanya, ketika kejadian, dia sedang membaiki pintu dapur dan terkejut apabila melihat bumbung rumah diterbangkan angin dalam sekelip mata menyebabkan bahagian dapur dan bilik dipenuhi air hujan.

"Ini kejadian pertama selepas 28 tahun menetap di sini dan buat sementara waktu, saya menutup bahagian bumbung tercabut dengan kanvas.

"Namun, ia akan diperbaiki dengan segera memandangkan sejak kebelakangan ini sering berlaku hujan dan ribut pada sebelah petang.

"Saya menganggarkan kerugian RM2,000 termasuk perkakas elektrik rosak dan tidak dapat diselamatkan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Likong Limbat, di sini, hari ini.

WAN Azizi (kanan) meninjau keadaan rumah seorang penduduk di Kampung Likong Limbat yang dihempap pokok durian. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.
WAN Azizi (kanan) meninjau keadaan rumah seorang penduduk di Kampung Likong Limbat yang dihempap pokok durian. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.

Terdahulu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Penduduk Mukim Parit, Wan Azizi Abdul Ghani melawat beberapa keluarga terkesan susulan kejadian ribut di mukim berkenaan, petang semalam.

Selain itu, Anuar Ismail, 45, berkata, ketika kejadian dia dan isterinya, Rosmawati Zaaba, 41, tiada di rumah kerana mempunyai urusan di Pasir Tumboh, manakala tiga anak berusia sembilan hingga 17 tahun berada di rumah.

"Tidak beberapa lama selepas itu, anak sulung, Nur Aliya Qistina menghubungi saya dan memberitahu dia terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian belakang rumah.

"Selepas menyelesaikan urusan di Pasir Tumboh, saya dan isteri pulang kerana bimbang dengan keadaan anak dan mendapati pokok durian menghempap bumbung dapur dan kerugian dianggarkan RM1,000," katanya.

Sementara itu, Wan Azizi berkata, sebanyak 25 rumah di Kampung Likong Limbat, Kampung Parit, Kampung Kubang Siput, dan Kampung Kubang Kachang mengalami kerosakan akibat dipukul ribut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 12:45 PM