POLIS menumpaskan kegiatan perjudian dalam talian di kondominium di Mont Kiara, di sini. FOTO ihsan polis
POLIS menumpaskan kegiatan perjudian dalam talian di kondominium di Mont Kiara, di sini. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan kegiatan perjudian dalam talian di sebuah kondominium di Mont Kiara, di sini, selepas menahan 21 individu termasuk seorang wanita United Kingdom (UK) semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata, Operasi Bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields itu diadakan bermula jam 2 petang hingga 12 tengah malam membabitkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), jenayah dan narkotik.

Menurutnya, dalam operasi itu, polis menahan 15 lelaki dan lima wanita tempatan bersama seorang wanita warga UK yang terbabit dalam kegiatan perjudian dalam talian.

"Polis turut merampas 21 set komputer, 42 telefon bimbit dan modem.

"Sementara itu dalam satu lagi serbuan polis menahan dua lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki tempatan kerana terbabit dalam kegiatan membeli dan menjual nombor ekor haram di Kuchai Lama dan Sri Petaling," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Zairulnizam berkata, turut dirampas tiga telefon bimbit dan wang tunai RM230.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4 (1) (C) akta sama.

"Polis juga menasihatkan pemilik premis perniagaan pub atau bar dan pengunjung premis mematuhi SOP PKPB kerana tindakan kompaun akan diberikan jika melanggar arahan," katanya.

Beliau berkata, dalam operasi itu, polis turut membuat pemantauan serta pemeriksaan di beberapa premis sekitar Jalan Telawi, Bangsar, Sri Petaling, Jalan Klang Lama, Sri Hartamas dan Taman Tun Dr Ismail.

"Hasil pemeriksaan di Jalan Telawi, Bangsar mengambil tindakan kompaun ke atas enam individu yang melanggar SOP PKPB.

"Antara kesalahan adalah ingkar perintah PKPB iaitu pemilik premis gagal mematuhi penjarakan fizikal, pelanggan tidak membuat imbasan dalam aplikasi Mysejahtera dan memainkan muzik dalam premis hiburan," katanya.

Katanya, tindakan kompaun dikenakan mengikut Peraturan 11 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dengan kompaun RM1,000.

"Dalam pemeriksaan itu juga, seorang lelaki yang cuba mempertikaikan tindakan polis turut ditahan kerana menghalang menjalankan tugas.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurut Zairulnizam, dua lelaki dan seorang lelaki warga India turut dikenakan kompaun kerana gagal menutup premis jam 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 3:08 PM