BERNAMA

Ipoh: Tempoh reman empat lelaki yang ditahan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas di Plaza Tol Slim River, Tanjung Malim awal pagi Jumaat lalu disambung dua hari lagi.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, polis membuat permohonan tempoh reman itu di Mahkamah Majistret Teluk Intan pagi tadi bagi membantu siasatan lanjut.

"Reman selama tiga hari keempat-empat lelaki berkenaan tamat hari ini dan disambung dua hari lagi sehingga Selasa ini," katanya ketika ihubungi Bernama di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 3.30 pagi itu, pasukan peronda polis (MPV) ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat mengenai kumpulan lelaki terbabit yang mabuk dan membuat bising dengan memasang muzik kuat dari dalam kereta.

Apabila tiba di lokasi, pasukan polis memberi nasihat supaya keempat-empat lelaki berusia 25 hingga 41 tahun yang berada di luar kereta yang diparkir di tepi jalan beredar dan tidak membuat bising.

Bagaimanapun, dua daripada mereka mengamuk dan menyerang seorang anggota polis dengan menolak badannya serta mengeluarkan kata-kata kesat manakala seorang merakam video dan cuba melakukan provokasi menyebabkan pihak polis menahan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 3:39 PM