DSP Mohd Haris Ibrahim. FOTO ihsan polis
DSP Mohd Haris Ibrahim. FOTO ihsan polis
Juwan Riduan

Penampang: Polis menafikan mengeluarkan kompaun ke atas dua individu yang berada di dalam satu kenderaan ketika melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Penampang-Papar, Jumaat lalu.

Sebaliknya, mesej yang tular sejak semalam itu adalah kompaun yang dikenakan terhadap tiga individu kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya mengesan mesej tular di WhatsApp mengenai kompaun yang dikenakan terhadap individu ingkar SOP PKPB.

Katanya, info yang terkandung di dalam mesej itu tidak tepat dan tiada kaitan degan imej kompaun berkenaan.

"Imej kompaun yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang adalah berkaitan dengan kesalahan yang dikenakan terhadap tiga individu yang menaiki satu kenderaan ketika ditahan di SJR Jalan Penampang-Papar, Jumaat lalu.

"Ia satu kesalahan kerana tidak patuh kepada SOP PKPB yang dikeluarkan iaitu hanya dua individu sahaja dibenarkan dalam kenderaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, ketiga-tiga individu itu dikenakan tindakan kompaun mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Terdahulu tular dakwaan di media sosial menyatakan: 'saman dalam kereta dua penumpang tapi tidak jaga jarak... rupanya kalau dua orang dalam kereta penumpang kena duduk di belakang tepi bukan di depan atau belakang pemandu, start sdh kena kuatkuasakan ni'.

Dalam perkembangan sama, Mohd Haris berkata, penularan imej dan mesej tidak tepat itu adalah satu tindakan tidak bertanggungjawan dan mencemarkan imej pasukan polis khususnya IPD Penampang.

"Polis amat memandang berat perihal ini dan memberikan amaran keras kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan info palsu yang menimbulkan kekeliruan masyarakat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 3:54 PM