PEGAWAI KPDNHEP Wilayah Persekutuan mengambil tindakan terhadap peniaga yang menjual gula kasar melebihi harga ditetapkan kerajaan. FOTO Mohd Jamilul Anbia Md Denin
PEGAWAI KPDNHEP Wilayah Persekutuan mengambil tindakan terhadap peniaga yang menjual gula kasar melebihi harga ditetapkan kerajaan. FOTO Mohd Jamilul Anbia Md Denin
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Tamak dan mahu kaut untung RM1.05 sen melalui setiap paket gula kasar dijual melebihi harga siling ditetapkan kerajaan.

Tindakan itu bagaimanapun mengundang padah apabila seorang pemilik pasar mini didenda RM5,000 serta merta atas kesalahan dilakukan itu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan, Ariffin Samsudin berkata, penipuan itu dikesan hasil pemeriksaan khas barang keperluan asas oleh pegawai KPDNHEP pada jam 12.15 tengah hari kelmarin.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati barangan harga terkawal iaitu gula pasir kasar dijual pada harga RM3.90 melebihi harga ditetapkan kerajaan.

"Pasar mini itu yang beroperasi di Mont Kiara didapati menjual barangan runcit untuk penduduk di sekitar kawasan itu.

"Harga gula pasir kasar yang dijual di pasar mini itu adalah RM3.90. Ia jelas lebih tinggi daripada harga kawalan yang ditetapkan oleh pihak kementerian pada harga maksimum RM2.85," katanya.

Beliau berkata, tindakan peniaga itu menipu dan menjual gula melebihi harga kawalan menyebabkan tindakan diambil mengikut Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 atas kesalahan menjual atau menawarkan untuk menjual barangan harga terkawal melebihi harga kawalan.

"Susulan itu peniaga terbabit dikenakan kompaun serta merta sebanyak RM5,000.

"Peniaga dan penjual diingatkan tidak mengambil kesempatan menjual barangan keperluan asas pada harga yang tinggi bagi mengaut keuntungan segera.

"Diharapkan tindakan kompaun ini menjadi peringatan kepada peniaga lain supaya mengikuti arahan kerajaan berkaitan barangan harga terkawal dan juga peraturan-peraturan lain dikuatkuasakan.

"Kementerian akan sentiasa menguatkuasakan undang-undang berkaitan bekalan dan harga barang keperluan asas pada setiap masa. Maklumat boleh disalurkan ke Emel [email protected], talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC) atau menghantar mesej ke WhatsApp di talian 019- 279 4317.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 9:42 PM