MANGSA meninggal dunia ditempat kejadian akibat tersepit dalam kemalangan di Batu 7 1/2 Jalan Bakri, Muar di sini hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
MANGSA meninggal dunia ditempat kejadian akibat tersepit dalam kemalangan di Batu 7 1/2 Jalan Bakri, Muar di sini hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Essa Abu Yamin


Muar: Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya merempuh sebuah treler yang baru keluar dari persimpangan jalan di Jalan Bakri, di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam kenyataannya berkata, kemalangan 2.41 petang itu membabitkan lori Hicom 3 tan yang tidak sempat memberhentikan kenderaan sebelum melanggar treler Volvo di hadapannya.

Katanya, pemandu lori, Mohamad Nazarudin Musa, 30, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian yang parah akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

"Seramai 19 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar dihantar ke tempat kejadian.

"Bomba menggunakan peralatan khas road traffic accident (RTA) bagi mengeluarkan mangsa," katanya, hari ini.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala pemandu treler berusia 36 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Operasi ditamatkan 4.11 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 8:56 PM