ANGGOTA bomba memadam kebakaran Bangunan Persatuan Wartawan Melayu di Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba memadam kebakaran Bangunan Persatuan Wartawan Melayu di Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan bomba
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Bangunan milik Persatuan Wartawan Melayu (PWM) yang dalam proses baik pulih di Jalan Bukit Petaling, di sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kuala Lumpur, Omar Chekku berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.20 pagi.

"Susulan itu, tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah serta bantuan dari BBP Pantai dan BBP Titiwangsa dikejarkan ke lokasi.

"Setiba di lokasi api sedang marak sebelum kerja pemadaman dilakukan dan kebakaran mengakibatkan bangunan terbabit musnah 100 peratus.

"Kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira setengah jam kemudian dan tiada mangsa terbabit manakala punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi PWM, Datuk Yazid Othman berkata, bangunan itu tidak beroperasi sejak tiga tahun lalu kerana dalam proses baik pulih.

"Bekalan elektrik sudah dipotong beberapa tahun lalu, dan kini bangunan itu dalam proses baik pulih selepas permohonan dibuat kepada Kementerian Penerangan.

"Saya baru sahaja mendapat maklumat mengenai kejadian ini dan akan ke sana pada petang ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 12:51 PM