Lelaki warga Bangladesh yang aktif memecah masuk kedai dan melarikan barangan premis terbabit di sekitar Sri Petaling tumpas selepas ditahan polis dalam Ops Pintu semalam. FOTO IHSAN PDRM
Lelaki warga Bangladesh yang aktif memecah masuk kedai dan melarikan barangan premis terbabit di sekitar Sri Petaling tumpas selepas ditahan polis dalam Ops Pintu semalam. FOTO IHSAN PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kegiatan seorang lelaki warga Bangladesh yang aktif memecah masuk kedai sebelum melarikan barangan di sekitar Sri Petaling, di sini, tumpas selepas ditahan polis dalam Ops Pintu, semalam.

Suspek berusia 27 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis selepas melihatnya dalam keadaan mencurigakan di Jalan Radin Bagus, Sri Petaling, di sini, pada 5 pagi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd [email protected] berkata, pemeriksaan lanjut terhadap suspek menemui beberapa peralatan yang digunakan untuk pecah rumah di dalam beg.

Menurutnya, antara barangan ditemui adalah pemutar skru, pemotong besi, playar, gunting, batang besi dan sepana.

Katanya, dalam soal siasat, suspek mengaku terbabit dalam beberapa kes pecah kedai di kawasan sekitar Sri Petaling.

"Pemeriksaan di rumah suspek juga menemui pelbagai barang keperluan harian dipercayai dicuri di sebuah kedai serbaneka dan dua restoran di Sri Petaling, baru-baru ini.

"Semakan mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan direman selama 14 hari mengikut Akta Imigresen 1959/63 bermula semalam hingga 2 November ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 2:00 PM