NORRISHA menceritakan keadaan ibu mertuanya yang terlantar sakit sejak enam tahun lalu kepada  Ust Abdul Fatah (dua dari kiri) dan wakil NGO, PERKASIH N9 di rumahnya. FOTO Mohd Khidir Zakaria
NORRISHA menceritakan keadaan ibu mertuanya yang terlantar sakit sejak enam tahun lalu kepada Ust Abdul Fatah (dua dari kiri) dan wakil NGO, PERKASIH N9 di rumahnya. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: "Saya tidak pernah menyesal malah bangga kerana dapat menjaga ibu mentua yang terlantar," kata Norissha Abd Aziz, 41, ketika ditemui di rumahnya di Jeti Nelayan Kuala Lukut, Chuah.

Katanya, ibu mentuanya, Norlia Majid, 63, terlantar akibat kencing manis kronik sejak enam tahun lalu.

"Akibat penyakit itu, semua sistem saraf emak gagal berfungsi dan dia hanya terlantar seterusnya memerlukan penjagaan rapi.

"Saya berkahwin 18 tahun lalu dengan suami, Karnain Hassan Zulkifli yang berusia 41 tahun dan dikurniakan empat anak berusia enam hingga 17 tahun.

"Kami keluarga nelayan dan saya turut menemani suami ke laut mencari rezeki. Ia juga bagi mencari perbelanjaan tambahan bagi membeli susu dan lampin pakai buang emak," katanya.

Norrisha ditemui pada kunjungan rombongan Yang Dipertua PAS Port Dickson Abdul Fatah Zakaria dan wakil Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) di rumahnya semalam.

Norrisha berkata, ibu kandungnya masih sihat walaupun sudah berusia 93 tahun malah sering melawat besannya itu.

"Ibu kandung saya marah kalau dia datang dan lihat emak (ibu mentua) dalam keadaan tidak terurus dan dia selalu berpesan supaya saya menjaga ibu mentua seperti menjaga ibu sendiri.

"Sudah lama emak terlantar dan setiap kali selepas solat, saya akan berdoa supaya emak sembuh," katanya.

Menurut Norrisha, ibu mentuanya memerlukan belanja besar untuk membeli susu 'Metabolic Sauver' berharga RM110 setin dan lampin pakai buang.

"Emak hanya dapat bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain bantuan kewangan daripada anak saya dan adik beradik lain untuk membeli barangan keperluannya.

"Kerana itu, setiap hari, saya dan suami perlu turun ke laut menangkap ikan untuk mencari duit belanja kami sekeluarga, belanja persekolahan anak-anak serta keperluan emak.

"Memang ia tidak mencukupi tetapi kami sanggup ikat perut kerana yang penting, bekalan susu dan lampin pakai buang emak perlu sentiasa ada," katanya.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun BSN Karnain Hassan Zulkifli di 05116-41-10000243-9 atau menghubungi Karnain di talian 011-24825360.

Tambahnya, selain ibu mentuanya, dia turut menjaga adik iparnya yang mengalami masalah kesihatan (mental) yang memerlukan penjagaan rapi.

"Dia (adik ipar) selalu berkurung di rumahnya yang terletak bersebelahan rumah saya namun saya anggap inilah ujian Allah SWT yang perlu dilalui.

"Bagi saya, lagi berat ujian itu, lagi manis rasanya jika kita ikhlas kerana saya tahu, Allah SWT menguji hamba-Nya mengikut kemampuan kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 3:05 PM