BANK makanan disediakan E-Klas Mart membolehkan orang ramai yang memerlukan mengambil barang keperluan di pondok pengawal MPJL. FOTO Abnor Hamizam
BANK makanan disediakan E-Klas Mart membolehkan orang ramai yang memerlukan mengambil barang keperluan di pondok pengawal MPJL. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Penduduk sekitar daerah ini, terutama fakir miskin yang memerlukan barangan makanan, boleh mendapatkannya secara percuma apabila sebuah syarikat menyediakan bank makanan di pondok pengawal Majlis Perbandaran Jempol (MPJL).

Yang Dipertua MPJL Raja Norazli Raja Nordin berkata, bank makanan itu disediakan syarikat E-Klas Mart.

"E-Klas Mart memperuntukkan RM1,600 sebulan bagi menyediakan pelbagai barangan makanan dan mereka yang memerlukan boleh datang ke pondok pengawal MPJL.

"Orang ramai yang mahu menyumbang barangan makanan boleh berbuat demikian dengan membelinya di E-Klas Mart yang baru sahaja beroperasi di premis MPJL di Pasar Tani FAMA, Bandar Seri Jempol," katanya hari ini.

Menurut beliau, orang ramai boleh membeli barangan makanan itu sebelum diletakkan di pondok pengawal MPJL.

"Sebaik dimaklumkan berkaitan bank makanan itu, lebih 20 individu datang untuk mengambil barangan makanan mengikut keperluan masing-masing," katanya.

Antara barangan disediakan adalah beras, gula, garam, tepung, kicap, minyak masak, mi segera dan bihun.

"Pada masa sama, bagi memastikan sumbangan ini sampai kepada golongan memerlukan tanpa isu, MPJL dan E-Klas Mart akan mengenal pasti kaedah terbaik mengagihkannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 3:36 PM