GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kajang: Seorang pekerja restoran makanan segera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan merogol jirannya, pertengahan bulan ini.

Tertuduh berusia 29 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Kafli Che Ali selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa wanita berusia 57 tahun 10 bulan (ketika kejadian) di sebuah apartmen di Semenyih sekitar 2 petang hingga 2.40 petang, pada 15 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat, manakala tertuduh diwakili peguam Alif Murkis.

Tiada jaminan ditawarkan oleh pihak pendakwaan, manakala Alif dalam rayuan memohon ikat jamin dikurangkan kerana anak guamnya sudah tidak tinggal di kawasan itu untuk mengganggu mangsa.

Mohd Kafli membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan dilarang mengganggu mangsa selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 15 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 3:50 PM