Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Gerak Mahalela Malaysia (GEMALAI) dan Seni Silat Jurus Rentak Makrifat membuat laporan polis berhubung dakwaan tular surat ditulis Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN

Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis susulan dakwaan tular surat ditulis Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Yang Dipertua GEMALAI, Faisalkamal Ariffin, 47, berkata, laporan dibuat bagi menuntut pihak polis menyiasat keaslian surat yang dinafikan UMNO selain kesan kepada umum sekiranya surat itu dipertikai pelbagai pihak.

"Antara kepentingan siasatan itu ialah menjaga dan mempertahankan kedaulatan institusi beraja Melayu khususnya Yang di-Pertuan Agong.

"Kami tidak mahu institusi beraja terus dipergunakan dan dipermainkan setengah pihak dengan menggunakan surat atau apa jua dokumen untuk mendapatkan kuasa," katanya ketika ditemui di luar perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, tadi.

Faisalkamal berkata, pihaknya juga gusar sekiranya kandungan surat seumpama itu tidak dibendung, lebih ramai pihak akan menggunakan cara sama.

"Pihak polis perlu menyiasat siapa sebenarnya yang menulis surat itu yang kini mengheret negara ke dalam kemelut politik tatkala berdepan Covid-19.

"Malah, pihak bermotif dan bertanggungjawab juga perlu disiasat susulan surat itu tular," katanya.

Berikutan itu katanya, beliau berharap kedaulatan institusi beraja terpelihara selain mengelakkan ahli politik menggunakan kuasa dan pengaruh bagi mendapatkan kuasa dengan cara yang salah.

Laporan polis sama turut dibuat Pengerusi Pertubuhan Seni Silat Rentak Makrifat, Mohd Rusdy Rusli berhubung isu sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 4:38 PM