MOHD Iqbal (dua dari kanan) menunjukkan dadah heroin, syabu dan ubat batuk yang dirampas selepas dibawa masuk menerusi feri penumpang. FOTO HAMZAH OSMAN
MOHD Iqbal (dua dari kanan) menunjukkan dadah heroin, syabu dan ubat batuk yang dirampas selepas dibawa masuk menerusi feri penumpang. FOTO HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman / 20OCT20


Langkawi: Polis melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah yang menjadikan feri penumpang sebagai medium selepas menahan tiga lelaki dalam tiga serbuan berasingan, kelmarin dan semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dalam serbuan pertama pada 4.30 petang kelmarin, seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan dalam sebuah kereta di Kampung Sungai Kedak.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui dadah jenis syabu dan heroin seberat 101.7 gram (g) dan 98.7g yang disembunyikan pada bahagian brek tangan.

"Nilai dadah yang dirampas daripada suspek dianggarkan RM19,300," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, suspek yang juga seorang peniaga turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, selain ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata, suspek mendakwa bekalan dadah diperoleh selepas dibawa masuk menerusi feri penumpang dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Seorang lagi lelaki berusia 30 tahun ditahan bersama dadah heroin dan syabu seberat 2.47 kilogram bernilai RM128,800 di laluan pejalan kaki terminal feri penumpang pada 1.15 tengah hari semalam.

"Suspek mengaku sering berulang-alik ke Langkawi untuk mengedar dadah dan disiasat mengikut seksyen sama," katanya.

Beliau berkata, tangkapan ketiga kira-kira enam jam kemudian membabitkan seorang lelaki berusia 48 tahun sejurus turun dari feri penumpang dan merampas 250 botol ubat batuk.

Menurutnya, ubat batuk itu dipercayai digunakan untuk proses menghasilkan air ketum dan suspek mengaku terbabit dalam kegiatan menghasilkan air ketum sejak akhir tahun lalu dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 5:21 PM