Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak. FOTO Arkib NSTP
Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan seorang kakitangannya di Ibu Pejabat Menara TH, Jalan Tun Razak di sini, positif Covid-19 dan kini sedang menjalani rawatan di hospital.

TH menerusi kenyataan berkata, kakitangan itu menjalani saringan Covid-19 pada 19 Oktober dan didapati positif pandemik itu hari ini.

"Berdasarkan penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kakitangan berkenaan dikenal pasti kontak rapat dengan pegawai yang dijangkiti Covid-19 dan diarahkan menjalani ujian saringan serta kuarantin selama 14 hari.

"Berdasarkan nasihat KKM, TH akan melaksanakan sanitasi di kawasan kerja serta mengambil langkah pencegahan bagi meminimumkan potensi jangkitan kepada kakitangan yang lain dan juga pendeposit yang berurusan di kaunter TH," katanya.

Menurutnya, TH sentiasa mengutamakan keselamatan pekerja dan pendepositnya.

"TH menasihati orang awam khususnya pendeposit yang berurusan di semua pejabat dan cawangannya untuk sentiasa mematuhi semua garis panduan dan prosedur operasi standard yang ditetapkan di semua pintu masuk dan kaunter TH.

"Kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa khususnya KKM bagi mengekang penularan wabak ini dan memastikan keselamatan pekerja dan pelawat bangunan pejabat TH," katanya.

Sebelum ini, TH mengesahkan seorang kakitangannya di Kota Kinabalu, Sabah dikesan positif pandemik itu 14 Oktober lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 6:58 PM