ISMAIL Sabri selepas sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan (MINDEF). FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri selepas sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan (MINDEF). FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia di Singapura tidak pernah dihalang untuk pulang, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, mereka boleh membuat permohonan melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi urusan keluar masuk ke negara ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Rakyat Malaysia yang ada keluarga juga tiada halangan untuk mereka bawa isteri dan anak pulang ke Malaysia.

"Tapi mereka perlu membuat permohonan melalui MyTravelPass secara dalam talian," katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tetapi tidak mahu pulang menggunakan Periodical Commuting Arrangement (PCA) pula boleh terus ke Pintu Masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) atau Kompleks Sultan AbuBakar (KSAB) serta perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, golongan B40 atau orang kurang upaya (OKU) yang tidak mampu menanggung kos kuarantin boleh membuat permohonan pengurangan atau pengecualian kos daripada kerajaan.

Katanya, sebarang pengurangan kos akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 7:00 PM