Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Jumlah kes positif di Selangor masih meningkat secara konsisten sehingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, situasi itu menjadikan Selangor merekodkan 3,489 kes setakat ini dengan 132 kes baharu hari ini.

Menurutnya, gelombang ketiga Covid-19 menyaksikan Selangor mengalami pertambahan kes pada akhir September lalu selepas kemasukan individu yang pulang dari Sabah.

"Kluster pertama yang dilaporkan di Selangor dalam gelombang ketiga ini adalah Kluster Jalan Apas pada 28 September membabitkan keluarga yang pulang dari Sabah.

"Peningkatan kes penularan tempatan di dalam di Selangor mula dilihat pada 2 Oktober lalu dan meningkat secara konsisten sehingga ke hari ini.

"Situasi ini berikutan kepadatan penduduk dan kadar pergerakan yang tinggi dalam kalangan penduduk dan pengunjung di Selangor," katanya dalam sidang media harian Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Katanya, sebanyak 90 peratus kes di Selangor dapat dikenal pasti menerusi aplikasi My Sejahtera yang memudahkan pengesanan dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, hanya satu kluster baharu direkodkan hari ini membabitkan Kluster Kertang di Kota Belud, Sabah.

Katanya, kes indeks bagi kluster dikenal pasti positif hasil saringan kontak rapat pada 14 Oktober lalu dan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di PPR Taman Seri Bayu, Kota Belud.

"Saringan kontak rapat sudah mengenal pasti 19 lagi kes positif dan sehingga 12 tengah hari ini seramai 216 individu sudah disaring dengan 21 kes dikesan positif Covid-19 manakala 195 individu negatif," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 31 kluster baharu masih aktif dengan 26 kluster dicatatkan di Selangor.

Katanya, Kluster Penjara Kepayan di Kota Kinabalu masih lagi mencatatkan kes baharu tertinggi dengan 231 kes diikuti Kluster Hentian di Hulu Langat dengan 45 kes baharu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 7:03 PM