ASISTEN Komisioner Imran Abd Rahman menyertai Sekatan Jalan Raya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di sempadan KLIA-Bandar Enstek, Nilai. FOTO Samadi Ahmad
ASISTEN Komisioner Imran Abd Rahman menyertai Sekatan Jalan Raya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di sempadan KLIA-Bandar Enstek, Nilai. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad

Sepang: Sebanyak 2,479 permohonan merentas negeri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga kini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, pelbagai alasan dikemukakan orang ramai yang membuat permohonan berkenaan termasuk menziarahi kematian ahli keluarga yang tinggal di negeri lain, isu perubatan dan hal kecemasan.

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 1,237 daripada permohonan terbabit diluluskan pihaknya.

Katanya, sebanyak 1,260 permohonan ditolak kerana gagal mengemukakan penjelasan munasabah seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Setiap permohonan yang dibuat akan diteliti terlebih dahulu sebelum kebenaran dikeluarkan untuk membolehkan mereka melakukan perjalanan rentas negeri," katanya sewaktu membuat pemantauan Sekatan Jalan Raya (SJR) PKPB di sempadan KLIA-Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan, tadi.

SJR KLIA-Bandar Enstek, Nilai adalah satu-satunya SJR di bawah pentadbiran IPD KLIA, dan dijalankan 24 jam setiap hari, membabitkan tujuh anggota dan seorang pegawai.

Sepanjang PKPB ini juga, IPD KLIA sudah mengeluarkan sebanyak 30 kompaun membabitkan kesalahan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Imran berkata, sepanjang SJR diadakan setakat ini, polis belum mengeluarkan sebarang kompaun dan lebih kepada memberi pendidikan kepada orang ramai.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya menahan seorang lelaki pada 15 Oktober lalu selepas didapati menyimpan dadah di dalam kenderaan sewaktu polis mengadakan pemeriksaan di SJR.

Katanya, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan kerana berkelakuan mencurigakan dan apabila pemeriksaan dibuat terhadap kenderaannya, polis menemui dadah jenis syabu, dianggarkan seberat 0.2 gram.

"Suspek berkenaan ditahan reman selama lima hari mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan denda serta dipenjara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 7:27 PM