`
`
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Seramai 207 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang, Negeri Sembilan mengalami keracunan makanan, hari ini.

Majlis Amanah Rakyat (Mara) memaklumkan, daripada jumlah itu seramai empat pelajar dimasukkan ke Hospital Jelebu kerana mengalami dehidrasi dan cirit birit.

Menurutnya, keadaan pelajar terbabit bagaimanapun stabil dan masih memerlukan pemerhatian hospital.

"Tindakan segera diambil pengurusan MRSM dengan menghantar pelajar yang terbabit ke Klinik Kesihatan Jelebu bagi mendapatkan rawatan segera.

"MARA juga sedang menyiasat secara rapi insiden ini untuk mengenal pasti punca keracunan makanan ini berlaku," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, MARA akan mengambil tindakan tegas sekiranya terbukti wujud kecuaian pihak pembekal makanan bermasak dan kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam penyediaan makanan.

Tambahnya, MARA juga mengikuti arahan Pejabat Kesihatan Jelebu untuk menutup sementara dewan selera selama dua minggu bagi proses pembersihan dan siasatan selanjutnya.

"Bagi memastikan kebajikan dan keperluan pelajar dapat dipenuhi sepanjang tempoh penggantungan ini, perkhidmatan penyediaan makanan sementara akan dilaksana oleh pembekal perkhidmatan makanan bermasak yang lain.

"Sehingga kini, MARA dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah terus memantau secara berterusan bagi memastikan keadaan kesihatan dan kebajikan para pelajar terus diberi perhatian dan dalam keadaan terkawal.

"Ibu bapa dinasihatkan untuk tidak bimbang dan sentiasa berhubung dengan pihak pengurusan MRSM bagi mendapatkan maklumat lanjut," katanya.

Menurutnya, MARA sentiasa prihatin dengan kebajikan dan keselamatan seluruh pelajar di Institusi Pendidikan MARA termasuk MRSM dan tindakan sewajarnya mengikut prosedur yang ditetapkan akan dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 10:18 PM