ANTARA dadah yang dirampas. FOTO ihsan polis
ANTARA dadah yang dirampas. FOTO ihsan polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Gombak: Pasangan kekasih ditahan selepas cuba meloloskan diri pada sekatan jalan raya (SJR) di kilometer 24 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, semalam.

Kejadian jam 8.30 malam itu juga membongkar kegiatan pengedaran dadah dijalankan suspek masing-masing berusia 29 dan 34 tahun.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pemeriksaan lanjut menemui empat paket lut sinar syabu dan 20 biji pil khayal dianggarkan bernilai RM2,000.

Menurutnya, suspek yang menaiki Honda Ferio sebelum itu cuba ditahan anggota polis yang membuat SJR.

"Polis cuba menahan namun suspek terus memecut laju kereta sehingga menyebabkan seorang anggota polis terjatuh dan mengalami kecederaan ringan di pergelangan tangan kanan.

"Sepasukan polis mengejar suspek sehingga ke Taman Bukit Rawang Jaya sebelum mereka terkandas kerana memasuki jalan mati," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Arifai berkata, suspek bagaimanapun tidak berputus asa dan masih cuba meloloskan diri sehingga berlaku pergelutan dengan polis.

Katanya, suspek akhirnya berjaya ditahan dan semakan mendapati suspek memiliki dua rekod lampu berkaitan dadah dan jenayah.

"Suspek kini direman selama enam hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B , 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen186 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 10:42 PM