ZAHIDI ZAINUL ABIDIN
ZAHIDI ZAINUL ABIDIN

Kuala Lumpur: Kerajaan sedia menambah baik sistem keselamatan siber di negara ini bagi mengekang kejadian penipuan dan penggodaman oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, ketika ini keselamatan yang ada perlu diperkukuhkan ke peringkat seterusnya bagi memastikan ia tidak dapat diceroboh bagi tujuan peribadi.

Katanya, untuk itu kerajaan mengharapkan bantuan syarikat korporat dan ahli perniagaan bagi tujuan pendanaan penambahbaikan itu.

"Isu Love Scam dan pelbagai penipuan lain ini sudah sekian lama kita hadapi. Ramai yang menjadi mangsa tanpa mengetahui siapa di belakang perbualan dan sebaliknya.

"Jika ada bantuan dan sumbangan, kita dapat kukuhkan sistem keselamatan sedia ada.

"Ia termasuk memastikan data tidak diguna pakai pihak tidak bertanggungjawab secara sewenang-wenangnya walaupun langkah pencegahan diambil," katanya.

Oleh itu, beliau memohon semua pihak sedar mengenai keperluan sistem keselamatan siber yang baik dan menyumbang untuk kebaikan bersama.

"Kami pernah suarakan dahulu, tetapi seperti tiada sambutan. Jadi saya minta semua pihak mengambil berat isu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 6:00 AM