GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Pasar di negeri ini dibenarkan beroperasi seperti biasa berkuat-kuasa serta merta dengan syarat haruslah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil berkata, pasar itu merangkumi pasar pagi, pasar malam, selain pasar tani, pasar awam dan bazar karat.

Bagaimanapun, sekiranya terdapat kes penularan Covid-19, penutupan pasar itu boleh dilakukan iaitu selepas pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapat laporan penilaian risiko dan khidmat nasihat daripada Pejabat Kesihatan Daerah.

"Ingin ditegaskan, PBT juga boleh mengambil tindakan penutupan serta-merta kepada mana-mana pasar yang tidak mematuhi SOP ditetapkan oleh PBT, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara.

"Pematuhan SOP yang diambil serius ini meliputi pemakaian pelitup muka, penggunaan aplikasi MySejahtera atau mengambil rekod keluar masuk pengunjung, selain pengambilan suhu badan, kawalan laluan masuk dan sekiranya kawasan pasar itu tidak mempunyai pagar, ia perlulah mempunyai hadangan menggunakan tiang atau ditanda dengan pita.

"Ia bagi memastikan ada penjarakan sosial selain penjarakan antara setiap gerai yang ditetapkan adalah 1.5 meter atau 2 meter," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ayub berkata, kesemua keputusan dibuat itu adalah hasil daripada mesyuarat membabitkan Majlis Keselamatan Negara, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (SUKJ) Bahagian Kerajaan Tempatan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) yang diadakan pada 18 Oktober lalu (Ahad lalu).

"Perkara ini sebagai maklum balas kepada penutupan sementara beberapa pasar pagi dan pasar malam yang dilakukan sebelum ini bertujuan tindakan kawalan dan mengelakkan berlakunya himpunan awam berikutan kenaikan kes positif Covid-19 di negara ini minggu lalu.

"Berdasarkan makluman, jumlah pasar yang ditutup di kawasan MBJB iaitu sebanyak 50 pasar malam dan 16 pasar pagi, manakala di MPKu pula 10 pasar malam, dua pasar pagi, dua pasar tani dan dua pasar lambak ditutup.

"Kerajaan negeri mendengar keluh kesah rakyat khususnya golongan peniaga kecil yang sebelum ini terkesan kerana tidak dapat menjalankan perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Justeru, penilaian sudah dilakukan dan usaha diambil ini adalah khusus bagi memastikan golongan seperti ini boleh terus mendapatkan sumber rezeki dan secara tidak langsung membantu memulihkan ekonomi negeri," katanya.

Beliau berkata, keputusan membenarkan operasi selepas menerima maklum balas daripada JKNJ yang menyatakan bahawa keadaan penularan Covid-19 di negeri ini masih dalam keadaan terkawal.

"Penilaian juga dibuat selepas mengambil makluman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar dilaksanakan di Sabah dan Kedah serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mana dilihat akan membataskan kemasukan individu dari kesemua negeri berisiko tinggi itu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 12:02 PM