MITSUBISHI Pajero yang dicuri di Jalan Tepi Sungai dekat Masjid Muhammadi, Rantau Panjang, ditemui semula selepas tiga jam kejadian itu, semalam. FOTO ihsan polis.
MITSUBISHI Pajero yang dicuri di Jalan Tepi Sungai dekat Masjid Muhammadi, Rantau Panjang, ditemui semula selepas tiga jam kejadian itu, semalam. FOTO ihsan polis.
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Kenderaan Mitsubishi Pajero yang dilaporkan hilang dipercayai dicuri di Jalan Tepi Sungai dekat Masjid Muhammadi, di sini, 5 pagi semalam, ditemui semula dalam masa kurang tiga jam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi, berkata dua daripada suspek yang menaiki kereta Honda Civic ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) oleh pihak Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) pada 7.30 pagi hari sama.

Katanya, hasil siasatan bukan sahaja menemui ketulan kristal disyaki dadah di pintu bahagian belakang kereta itu, malah terdapat gambar Mitsubishi Pajero dipercayai dicuri di dalam telefon bimbit salah seorang suspek.

"Hasil pandu arah dua suspek berusia 37 dan 46 tahun itu, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas dibawa ke Taman Kenerak Jaya, Pasir Mas, dan menemui Mitsubishi Pajero itu diparkir di bahagian luar sebuah rumah.

"Hasil serbuan di rumah terbabit turut menemukan tiga lagi lelaki berusia 25 hingga 28 tahun yang disyaki terbabit dalam kes mencuri kereta.

"Semua lima suspek dibawa ke IPD Pasir Mas dan direman selama empat hari bermula semalam sehingga 23 Oktober, manakala ujian saringan air kencing mendapati kelima-lima suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohamad Roy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, hanya dua suspek mengaku mencuri Mitsubishi Pajero terbabit dengan mengumpil pintu dan menyambungkan wayar suis sebelum memandu kenderaan terbabit ke rumah suspek ketiga.

"Suspek ketiga yang juga pemilik rumah tidak mengaku terbabit dalam kes ini dan hanya mengesahkan kenderaan itu dihantar ke rumahnya.

"Manakala, dua lagi sahabatnya yang turut ditahan mengakui tidak tahu menahu dan hanya berada di rumah suspek ketiga.

"Semakan mendapati empat daripada lima suspek memiliki rekod jenayah lampau dan siasatan masih dijalankan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 12:40 PM