Noor Hidayah Tanzizi

Parit: Penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Parit di sini, hari ini terhadap dakwaan mencuri wang tabung Surau Al Solahiah Kampung Tersusun Tasek Permai, dekat Batu Gajah.

Tertuduh, Muhammad Waafi Azhari, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nazratul Natrah Mohd Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati melakukan kesalahan itu pada 10.57 pagi, Jumaat lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara hingga tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Fairoz Abd Mutalib, manakala tertuduh diwakili peguam, Rajit Gill.

Tertuduh kemudiannya dibenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Disember ini.

Semalam, dilaporkan seorang lelaki yang mengenakan jubah sebelum mencuri wang tabung surau ditahan polis selepas 'aksinya' dirakam kamera litar tertutup (CCTV) surau berkenaan.

Lelaki (baju kelabu) yang menyamar sebagai wanita dengan mengenakan jubah sebelum mencuri wang tabung surau, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Parit di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri wang tabung Surau Al Solahiah Kampung Tersusun Tasek Permai, dekat Batu Gajah, Jumaat lalu. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 1:21 PM