FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Arau: Pasangan suami isteri antara 36 yang ditahan selepas disyaki menagih dadah dalam Op Perdana yang dilaksanakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perlis bermula semalam hingga pagi hari ini.

Jurucakap AADK Perlis berkata, wanita berusia 35 tahun yang sedang sarat mengandung itu ditahan bersama suaminya berusia 24 tahun di kediaman keluarga lelaki itu di Kurong Anai di sini, pada 10.30 malam tadi.

Menurutnya, pasangan berkenaan ditahan selepas berada dalam keadaan mencurigakan ketika menunggang serta membonceng motosikal.

"Lagak keduanya sewaktu tiba di rumah keluarga mereka amat mencurigakan dan seolah-olah sedang melarikan diri dari sesuatu.

"Pegawai AADK yang bertugas kemudiannya meminta kebenaran keluarga terbabit agar keduanya menjalani ujian saringan awal air kencing dan mendapati mereka positif syabu.

"Soal siasat terhadap keduanya, mereka mengaku baru pulang dari 'port' berdekatan bagi menghisap dadah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, wanita terbabit yang sudah mempunyai seorang anak melalui perkahwinan terdahulu disyaki mempunyai masalah ketagihan dadah sebelum berkahwin buat kali kedua pada Julai lalu.

Katanya, operasi terbabit berakhir pada 4 pagi tadi dan menahan seramai 31 lelaki serta lima wanita berusia antara 17 hingga 51 tahun membabitkan beberapa kawasan panas di sekitar Kangar, Arau dan Padang Besar.

"Kami turut menahan dua remaja berusia 17 tahun yang disyaki menagih syabu, manakala seorang lelaki berusia lingkungan 20-an diserahkan kepada polis mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki sejumlah dadah.

"Yang lain ditahan mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 pindaan 1998 dan diberikan jaminan oleh AADK sebelum tindakan lanjut diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 1:47 PM