Nor Amalina Alias


Bachok: Jabatan Perikanan Negeri Kelantan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Pengkalan Kubor merampas 320 unit bubu naga bernilai RM49,400 dalam operasi bersepadu yang berakhir semalam.

Rampasan itu membabitkan pemeriksaan ke atas 40 bot nelayan di 15 jeti nelayan tradisi, pesisir muara sungai dan laut di perairan Kelantan.

Pengarah Perikanan Kelantan, Nazri Ishak berkata, operasi itu berlangsung tiga hari bermula Ahad lalu membabitkan 26 pegawai dan anggotanya bersama PPM.

"Bubu yang dilesenkan sepatutnya tidak boleh lebih dua injap seunit, tetapi apabila diperiksa, mereka (nelayan) menggunakan lebih daripada yang dibenarkan.

"Ini menyebabkan aktiviti itu memberi kesan kepada benih-benih ikan serta memusnahkan sumber yang berpotensi," katanya pada sidang media di Jeti Pangkalan Perlindungan Sumber Tawang, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad.

Nazri berkata, nelayan yang melakukan kesalahan itu disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 dan Pekeliling Pelesenan Bilangan 5/2018.

Katanya, untuk rekod, sebanyak 21 kes sitaan direkodkan sejak Januari lalu yang membabitkan 340 unit bubu naga bernilai RM51,400.

Anggota Perlindungan Sumber Perikanan memeriksa bubu Naga yang berjaya dirampas. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Anggota Perlindungan Sumber Perikanan memeriksa bubu Naga yang berjaya dirampas. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 1:54 PM