KELIHATAN seorang penunggang motosikal memakai pelitup muka melintasi papan tanda bangunan Telekom Malaysia (TM) Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
KELIHATAN seorang penunggang motosikal memakai pelitup muka melintasi papan tanda bangunan Telekom Malaysia (TM) Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Empat premis Telekom Malaysia Berhad (TM) Terengganu ditutup enam hari bermula Isnin hingga Sabtu ini berikutan seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19.

Pengarah Wilayah Timur TM Berhad, Mohd Yazid Abd Manaf berkata, premis itu adalah Pejabat TM Kuala Terengganu, TM Jalan Air Jernih, TM Jalan Pusara dan TM Medan Jaya.

Manakala, cawangan TM lain termasuk TMpoint masih beroperasi seperti biasa.

"Penutupan ini bagi membolehkan kerja sanitasi dilakukan menurut garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) dan supaya kakitangan mempunyai kontak menjalani kuarantin.

"Kakitangan TM Terengganu yang bukan dalam fungsi kritikal pula diarah bekerja dari rumah sehingga 31 Oktober, sementara pelanggan TM pula digalakkan untuk berurusan secara dalam talian," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Yazid berkata, pengesanan kontak rapat secara terperinci kini sedang dilaksanakan KKM dan pihaknya menggalakkan mereka mengikut nasihat pihak berkuasa.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 3:28 PM