MARIYAH hilang dari rumah sejak Mei tahun lalu. FOTO ihsan polis
MARIYAH hilang dari rumah sejak Mei tahun lalu. FOTO ihsan polis
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Polis meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan seorang ibu tunggal yang menghilangkan diri dari rumahnya dekat Jalan Teluk Ipil, Sungai Che Isa, di sini, sejak 4 Mei tahun lalu.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, Mariyah Ayob, 62, yang mengalami penyakit lupa ingatan, nyanyuk dan sawan hingga pergerakan terbatas didapati tiada di rumah berkenaan oleh anaknya.

Jurucakap polis berkata, anak mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan ibunya pada 4 Jun tahun lalu berikutan bimbang dengan keadaan mangsa.

"Anak mangsa memaklumkan ibunya keluar dari rumah sehelai sepinggang tanpa membawa beg pakaian, dokumen penting seperti kad pengenalan serta tidak mempunyai telefon bimbit.

"Kini lebih setahun mangsa menghilangkan diri dan ia menyebabkan anaknya bimbang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa boleh menghubungi Penolong Ketua Polis Balai Nibong Tebal, Sarjan Mejar Surati Attan di talian 04-5829404 atau 017-4931983.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 4:05 PM