Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis akan menyiasat pembabitan ahli politik di dalam sindiket 'cuci duit' yang dikaitkan dengan perniagaan golongan artis sebelum ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, bagaimanapun setakat ini pihaknya tidak mengesan pembabitan ahli politik.

"Polis akan menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh, jika ada tindakan akan diambil," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Berhubung tangkapan terhadap tiga lelaki yang ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, beliau berkata, polis akan membuat permohonan bagi melanjutkan reman selama 38 hari terhadap mereka.

Menurutnya, pihaknya giat mengesan lokasi persembunyian suspek Goh Leong Yeong @ Alvin yang melarikan diri selepas dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Semalam kita ada membuat tangkapan ke atas seorang lelaki di Lembah Klang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek yang melarikan diri," katanya.

HUZIR. FOTO Aswadi Alias
HUZIR. FOTO Aswadi Alias

Baru-baru ini, SPRM membongkar kegiatan segelintir individu disyaki terbabit dalam Macau Scam dan perjudian dalam talian sebelum memerangkap segelintir artis tempatan dengan menawarkan bantuan modal memulakan perniagaan bagi mencuci duit.

Ia susulan tangkapan lima individu termasuk Datuk pada 3 Oktober lalu oleh SPRM selepas seorang selebriti terkenal dipanggil untuk dirakam percakapan.

SPRM juga menahan 20 individu termasuk lapan pegawai polis dan seorang warga China, selain membekukan kira-kira RM101 juta daripada 736 akaun bank dan menyita wang tunai RM5 juta serta merampas 23 kenderaan mewah pelbagai jenama serta motosikal berkuasa tinggi bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 4:11 PM