TUJUH pelajar MRSM Kuala Klawang dirawat di Hospital Jelebu akibat keracunan makanan. FOTO Abnor Hamizam
TUJUH pelajar MRSM Kuala Klawang dirawat di Hospital Jelebu akibat keracunan makanan. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Tiga lagi pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Klawang di sini, dimasukkan ke wad Hospital Jelebu jam 10 malam tadi dan awal pagi tadi akibat keracunan makanan.

Terdahulu, empat pelajar dimasukkan ke hospital sama semalam akibat keracunan makanan namun beberapa daripadanya dibenarkan keluar daripada wad tengah hari tadi.

Yang Dipertua Badan Permuafakatan Pendidikan MARA (Muafakat) Cawangan Kuala Klawang Nazaruddin Othman berkata, bagaimanapun, keadaan ketiga-tiga pelajar berkenaan yang muntah-muntah dan cirit-birit sebelum dimasukkan ke wad tidak membimbangkan.

"Muafakat turut dimaklumkan oleh pihak MRSM beberapa pelajar yang dimasukkan ke wad semalam sudah dibenarkan keluar tengah hari tadi.

"Selain itu, sebahagian besar pelajar yang mengalami keracunan makanan semalam sudah pulih dan mengikuti pelajaran seperti biasa.

"Ibu bapa, seperti dimaklumkan pihak MARA pada kenyataan dikeluarkan semalam, tidak perlu bimbang mengenai keadaan anak mereka kerana pihak MRSM, MARA dan Muafakat sentiasa prihatin dengan kebajikan serta keselamatan pelajar terbabit," katanya dihubungi.

Semalam, 207 pelajar MRSM Kuala Klawang mengalami keracunan makanan dipercayai selepas menikmati makan malam di dewan makan sekolah berasrama berkenaan.

Pelajar mengalami simptom cirit-birit, loya dan muntah-muntah bermula jam 2 pagi hingga jam 4 pagi sebelum empat daripadanya dimasukkan ke wad Hospital Jelebu untuk rawatan.

Dewan makan sekolah berkenaan turut ditutup untuk dua minggu bagi siasatan dan pemeriksaan lanjut.

Berita berkaitan

Siasatan rapi punca keracunan makanan - MARA

207 pelajar MRSM keracunan makanan

Lebih 100 pelajar MRSM Kuala Klawang keracunan makanan [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 5:19 PM