MOHD AMAR NIK ABDULLAH
MOHD AMAR NIK ABDULLAH
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: PAS menyifatkan konflik politik negara tidak terlalu kritikal dan dapat diselesaikan dengan baik.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, yakin masalah membabitkan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga boleh diselesaikan dengan baik.

"Memanglah kalau keadaan politik tidak menentu dan tidak stabil, maka pilihan terbaik adalah bubarkan Parlimen dan memberi peluang kepada rakyat buat pilihan.

"Cuma isu sekarang, kita dalam (menghadapi) pandemik Covid-19, itu kena fikir.

"Saya rasa boleh selesai, semua ini (pemimpin) orang cerdik-cerdik belaka. Bincang dengan baik dan melihat kepentingan lebih luas, bukan kepentingan kelompok atau parti tertentu, lihat kepentingan negara dan rakyat, maka boleh selesai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Mohd Amar turut berpendapat masalah berlaku tidak serius meskipun ada beberapa isu dibangkitkan parti tertentu.

"(Namun) Saya tidak tahu apa isu di antara mereka kerana pelbagai andaian dibuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 5:21 PM