KERETA Proton Saga yang merempuh pintu kaca bank di Jalan Haji AH Tengah, Sipitang. FOTO JUWAN RIDUAN
KERETA Proton Saga yang merempuh pintu kaca bank di Jalan Haji AH Tengah, Sipitang. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


Sipitang: Dua beradik berusia dua dan lima tahun terselamat selepas kereta dinaiki mereka merempuh pintu kaca sebuah bank di Jalan Haji AH Tengah, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.45 pagi itu, terdapat beberapa pelanggan sedang berurusan di bank berkenaan namun mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta Proton Saga itu meletakkan kenderaannya di kawasan parkir di hadapan bangunan bank berkenaan.

Katanya, wanita berusia 29 tahun itu kemudian keluar dari kereta dan beratur di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dengan meninggalkan anak lelaki dan perempuannya berusia dua dan lima tahun dalam keadaan enjin kenderaan masih hidup.

"Ketika wanita itu sedang beratur di luar ATM, tiba-tiba orang awam menjerit dan wanita itu mendapati kereta yang ditinggalkannya bergerak dan melanggar pintu kaca bank berkenaan.

"Akibat rempuhan itu, pintu kaca bank mengalami kerosakan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dua anak wanita terbabit tidak mengalami kecederaan.

"Kecuaian disebabkan oleh pemandu wanita itu yang keluar dari keretanya dengan enjin masih hidup atau gear terletak di posisi D," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1958 (Rule 10 LN 166/59) iaitu gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 5:33 PM