GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil

Seremban: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin diarah ditutup selama tujuh hari sehingga 28 Oktober ini, susulan warga sekolah terbabit disahkan positif Covid-19.

Surat arahan penutupan yang ditujukan kepada Pengetua SMK Tunku Besar Tampin itu ditandatangani Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), Md Fiah Md Jamin, hari ini.

Dalam surat itu menyatakan Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan bahawa mana-mana sekolah di seluruh negara yang mempunyai kes positif Covid-19 perlu ditutup untuk tempoh tujuh hari tanpa menunggu analisa risiko oleh KKM dan penutupan dibuat bagi membolehkan kerja pembersihan dan disinfeksi dilaksanakan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, daerah Tampin merekodkan lapan kes baharu Covid-19, hari ini.

Beliau berkata, maklumat yang dikeluarkan daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis ( CPRC) itu sememangnya mengejutkan banyak pihak kerana selama ini Tampin adalah zon hijau Covid-19.

"Dimaklumkan terdapat lapan kes positif Covid-19 di daerah Tampin hari ini iaitu masing-masing empat kes membabitkan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Repah dan Dun Gemas.

"Kita sudah meminta kerjasama kepada Pengerusi Majlis Permuafakatan Komuniti Kampung (MPKK) untuk memberitahu atau peringatan kepada masyarakat kampung agar berhati-hati serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam norma baharu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Veerapan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Repah berkata, penduduk daerah berkenaan tidak perlu panik sebaliknya meneruskan norma baharu dan patuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.

Beliau berkata, pihaknya juga menggesa mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit supaya membuat saringan Covid-19.

Menurutnya, Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Tampin sedang mengambil langkah untuk mengesan kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

"Setakat ini sebuah sekolah menengah (SMK Tunku Besar Tampin) diarah tutup untuk aktiviti sanitasi.

"Bagaimanapun jumlah sebenar warga sekolah itu yang positif Covid-19 belum dikenal pasti kerana pihak berkuasa masih dalam siasatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 6:02 PM