Raja Noraina Raja Rahim dan Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Hanya sektor di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan perkhidmatan awam yang diarah bekerja dari rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Labuan dan Sabah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan ramai yang keliru dengan arahan dinyatakan beliau, semalam.

"Bagi pekerja sektor lain yang dikategorikan sebagai informal sektor seperti sektor peruncitan, makanan, perladangan, pertanian, penjaja, gerai makan, restoran, medan selera, kedai runcit, kedai serbaneka dan lain-lain dibenarkan bekerja seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Begitu juga, pekerja bagi perkhidmatan pengangkutan seperti pengangkutan awam, bas ekspres, LRT, teksi, e-hailing dan khidmat penghantaran makanan juga boleh bekerja seperti biasa," katanya dalam sidang media hari ini.

SEORANG kakitangan Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad (PLUS) tekun melakukan kerja-kerja menggunakan laptop dan aplikasi video dalam talian semasa bekerja dari rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO BERNAMA
SEORANG kakitangan Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad (PLUS) tekun melakukan kerja-kerja menggunakan laptop dan aplikasi video dalam talian semasa bekerja dari rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO BERNAMA

Beliau berkata, majikan perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang dibenarkan bekerja sepanjang tempoh PKPB.

Katanya, pelaksanaan arahan itu adalah sama seperti yang pernah dikuatkuasakan ketika PKPB di seluruh negara pada Mei lalu.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, pekerja warga asing yang bekerja di sektor pembinaan dan pengawal keselamatan diwajibkan menjalani ujian calitan Covid-19.

Tambah beliau, pekerja di zon merah yang bekerja di pejabat juga disarankan menjalani ujian berkenaan.


  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 7:39 PM