GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengesahkan terdapat satu kes positif Covid-19 di Pangsapuri Kristal Heights, Seksyen 7, dekat sini, pada 19 Oktober lalu.

Pengurus Komunikasi Korporat PKNS, Mahfizul Rusydin Abd Rashid berkata, individu berkenaan berusia 31 tahun dan disahkan positif Covid-19 hasil ujian saringan di sebuah hospital swasta di Shah Alam.

"Individu yang disahkan positif itu kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

"Semua kontak rapat pesakit itu sudah disahkan negatif bagi ujian kali pertama dan kini sedang menjalani kuarantin sendiri di kediaman masing-masing selama 14 hari," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu katanya, pihak pengurusan Pangsapuri Kristal Heights akan menutup sementara kemudahan bersama seperti dewan serba guna, taman permainan, gimnasium dan kolam renang sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

Katanya, pihak PKNS akan melaksanakan proses sanitasi di kawasan gunasama pangsapuri termasuk lif dan tangga kecemasan sebagai langkah mencegah bermula esok.

"Penduduk Pangsapuri Kristal Heights diingatkan untuk kekal tenang dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti menjaga jarak fizikal satu meter dan sentiasa memakai pelitup muka dan hidung bagi mencegah penularan Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 7:55 PM