GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau menggesa orang ramai supaya menghentikan perkongsian di media sosial berkaitan nama tiga pesakit positif Covid-19 yang diminta tampil ke pejabat itu dengan kadar segera.

Melalui kenyataan di Facebook (FB) rasmi, pejabat kesihatan itu menegaskan tidak pernah mendedahkan biodata pesakit Covid-19.

"Terdapat penularan di laman media sosial berkenaan nama tiga pesakit positif Covid-19 beberapa hari lalu dan masih tular sehingga hari ini.

"Biodata pesakit Covid-19 adalah sulit. Terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menularkan perkara itu," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, perkongsian itu memberi kesan kepada individu yang tidak berkaitan disebabkan nama yang hampir sama sehingga 'dipulaukan' segelintir masyarakat.

Sejak kelmarin tular di media sosial termasuk kumpulan Whatsapp yang mendakwa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Kubota cuba menghubungi tiga penama yang disahkan positif Covid-19.

Bagaimanapun ketiga-tiga penama terbabit gagal dihubungi selain meminta orang ramai yang mengenali atau mengetahui alamat mereka untuk tampil membantu KKM.

Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau berkata, perkongsian tidak tepat itu perlu dihentikan bagi mengelak dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

"Jangan ada stigma terhadap pesakit Covid-19 dan ahli keluarga, mereka bukan penjenayah, pesakit yang sembuh dan discaj daripada hospital tidak akan menjangkiti individu lain, mainkan peranan anda dengan memberi sokongan," menurut kenyataan itu lagi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 8:10 PM