MAHFUZ OMAR
MAHFUZ OMAR
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Dua pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) sedia berhadapan saman yang bakal difailkan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan pembelian kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire milik Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor Datuk Dr Ismail Salleh mengakui Menteri Besar Kedah itu mempunyai hak untuk memfailkan saman.

Mahfuz berkata, Muhammad Sanusi berhak mengemukakan saman berkenaan dan beliau mahu tahu kenyataannya yang mana menimbulkan fitnah terhadap Menteri Besar itu.

"Saya mempersoalkan apa keperluan SADA beli Vellfire untuk kegunaan Menteri Besar, kereta sedia ada sudah cukup tetapi kalau beliau hendak saman saya tiada masalah.

"Saya bersedia jumpa beliau di mahkamah, lagipun saya sudah biasa dengan saman menyaman," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Ismail pula berkata, Menteri Besar itu mempunyai hak untuk mengemukakan saman dan beliau akan mempertahankan diri di mahkamah kelak.

Menurutnya, beliau hanya memuat naik satu berita di laman sosial miliknya mengenai pembeliaan kenderaan terbabit berdasarkan maklumat yang ada.

"Kita tahu SADA adalah anak syarikat yang bermasalah dan dari segi urusan perniagaan tidak mempunyai keuntungan besar, jadi apa perlunya kenderaan itu dibeli.

"Perkara ini saya akan cakap di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang, kalau beliau mahu saman, saman lah kerana itu hak beliau dan hak saya pula akan pertahankan diri," katanya.

Hari ini, Muhammad Sanusi mengumumkan akan memfailkan saman fitnah ke atas empat pemimpin pembangkang minggu hadapan kerana mengaitkannya dengan pembelian kenderaan mewah berkenaan.

Berita berkaitan

Pembelian Vellfire: MB Kedah mahu saman Mahfuz, Dr Ismail

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 8:24 PM