ANTARA 700 pegawai dan anggota TUDM yang terbabit dalam latihan  Eksesais PARADISE 7/20.
ANTARA 700 pegawai dan anggota TUDM yang terbabit dalam latihan Eksesais PARADISE 7/20.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Kedaulatan ruang udara negara tetap diberi keutamaan walaupun ketika negara sedang berdepan cabaran getir menentang pandemik Covid-19.

Ini dibuktikan apabila Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengadakan latihan Eksesais PARADISE (Paradrop, Air Defence, Insertion, Strike, Search and Resque and Extraction) 7/20 bagi menguji kesiagaan dan kompetensi TUDM ketika negara mengadapi cabaran krisis kesihatan global.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM menyempurnakan Majlis Penutup Eksesais PARADISE secara persidangan video dari Markas Tentera Udara ke markas-markas wilayah, pangkalan-pangkalan udara utama dan unit TUDM semalam.

Majlis penutup eksesais turut disertai Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Salleh Osman TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Datuk Roshaimi Zakaria TUDM; Panglima Bantuan Udara, Mejar Jeneral Datuk Muhamad Norazlan Aris TUDM serta pegawai kanan TUDM.

TUDM melaksanakan Eksesais PARADISE 7/20 bermula 12 Oktober lalu dengan hanya membabitkan elemen TUDM (Single Service) tanpa sebarang penglibatan Elemen Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berikutan mengelakkan risiko penularan pandemik Covid-19.

Namun begitu, latihan yang dilaksanakan di dalam skala yang kecil adalah satu keperluan bagi memastikan pertahanan negara sentiasa bersiapsiaga walaupun ketika suasana krisis mahupun aman.

Tan Sri Ackbal di dalam ucapan penutup itu menyatakan syabas kepada semua peserta berikutan eksesais ini berjaya dilaksanakan dengan baik dan sempurna tanpa sebarang insiden yang tidak diingini dan ketika negara di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurutnya, tujuan utama Eksesais PARADISE adalah bagi memastikan keupayaan dan kesiapsiagaan TUDM sentiasa berada di tahap yang terbaik khususnya bagi melindungi kedaulatan ruang udara negara.

"Secara keseluruhan, latihan ini mampu menilai kesediaan pertempuran, meningkatkan tahap saling kendali di dalam menjalankan operasi, menilai kemahiran dan kecekapan pegawai dan anggota serta tahap keberkesanan peralatan, sistem dan persenjataan TUDM.

"Secara tidak langsung eksesais ini dapat meningkatkan kredibiliti dan keyakinan rakyat dan negara kepada TUDM di dalam mengendalikan isuisu di sempadan maritim negara," katanya.

Difahamkan Eksesais PARADISE 7/20 yang berlangsung selama 12 hari itu menyaksikan pembabitan 700 pegawai dan anggota lain-lain pangkat serta 20 aset dan elemen sokongan.

Latihan itu turut bertujuan meningkatkan dan menilai tahap integrasi antara pelbagai elemen pesawat pejuang, pesawat pengangkut, helikopter dan elemen Pasukan Khas Udara.

Malah eksesais kali ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila buat pertama kali TUDM melaksanakan latihan 'Covid-19 Extraction' yang dilaksanakan dengan penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap serta mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) digariskan.

Ia dilakukan bagi kesiagaan dan kompetensi anggota TUDM menangani kes-kes di luar jangka terutama melibatkan penularan penyakit berjangkit seperti Covid-19.

Semasa eksesais ini juga, pihak TUDM turut melaksanakan program jiwa murni bersama komuniti setempat iaitu sumbangan wang tunai dan barang makanan keperluan asas hasil sumbangan warga TUDM kepada dua komuniti yang dikenalpasti di Kuantan iaitu Permata Al-Insyirah Kampung Sungai Isap dan Rumah Orang Tua Kampung Pandan Permai.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 8:11 AM