16 guni daun ketum yang cuba diseludup ke Thailand di Durian Burung. FOTO ihsan ATM
16 guni daun ketum yang cuba diseludup ke Thailand di Durian Burung. FOTO ihsan ATM
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merampas 2.25 tan ketum bernilai RM96,157 dan memberkas dua tekong darat dalam Operasi Benteng Zon Utara di sempadan negara, 18 hingga 21 Oktober lalu.

Markas Briged Keenam Infantri dalam kenyataan berkata, dua lelaki berasal dari Perlis ditahan ketika cuba menyeludup 1.5 tan ketum bernilai lebih RM69,000 semalam.

"Mereka menggunakan Proton Wira dan Proton Saga bagi mengangkut daun ketum di dalam plastik hitam sebelum ia ditinggalkan di Hutan Rizab Sungai Badak bagi diambil tekong dari Thailand.

"Hasil rampasan terbabit diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, ATM turut merampas 16 guni ketum seberat 480 kilogram (kg) yang cuba diseludup ke Thailand melalui Durian Burung, kelmarin.

Katanya, rampasan dianggarkan bernilai RM18,400 termasuk dua motosikal yang digunakan bagi mengangkut daun ketum.

"Pada 18 Oktober lalu juga, Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) Perlis menemui sembilan guni putih mengandungi ketum seberat 270 kg disembunyikan di sebuah rumah di Mata Ayer.

"Rampasan dianggarkan bernilai RM8,100 sudah diserahkan kepada Balai Polis Padang Besar untuk tindakan selanjut," katanya.

Beliau berkata, semua daun ketum yang dirampas di kawasan Op Benteng Zon Utara itu dipercayai cuba dibawa ke Thailand melalui laluan haram dan pagar keselamatan yang sengaja dirosakkan oleh tekong.

Katanya, bahan terlarang yang dirampas juga dipercayai cuba dihantar ke pasaran tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 10:45 AM